APAKAH ITU UNIT AMANAH?

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Saya sekadar hendak berkongsi tentang apakah itu Unit Amanah? Unit Amanah juga dikenali sebagai Amanah Saham atau Saham Amanah. Manakala dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Unit Trust atau Mutual Fund. Persoalannya apakah Unit Amanah ini sebenarnya?

APAKAH ITU UNIT AMANAH

Skim Unit Amanah merupakan suatu bentuk pelaburan kolektif yang membolehkan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama supaya mengumpulkan simpanan mereka, dan kemudian dilaburkan ke dalam portfolio sekuriti atau aset lain yang diuruskan oleh profesional pelaburan.

Pelabur Skim Unit Amanah tidak membeli sekuriti dalam portfolio secara langsung. Pemilikan portfolio terbahagi kepada unit kelayakan dan setiap pelabur dikenali sebagai ‘pemegang unit’. Satu unit dalam Skim Unit Amanah merupakan ‘bahagian’ berkadar daripada pelaburan yang terkumpul. Apabila nilai pelaburan dalam portfolio Skim Unit Amanah meningkat atau menurun, maka nilai atau ‘harga unit’ bagi setiap unit tersebut juga meningkat atau menurun. Apabila portfolio tidak tertakluk kepada perubahan nilai seperti dalam beberapa tabung yang ditaja oleh Kerajaan, harga unit ditetapkan pada RM 1.00.

Pemegang unit dalam Skim Unit Amanah bukannya pemegang saham dalam sesebuah syarikat tetapi sebaliknya merupakan benefisiari di bawah amanah yang diwujudkan oleh penganjur dalam Skim Unit Amanah (Syarikat Pengurusan Unit Amanah). Menurut perlembagaan atau ‘surat ikatan’ Skim Unit Amanah, mesti terdapat pemegang amanah untuk menjaga kepentingan pelabur. Pemegang amanah ialah pemilik sah ke atas semua aset dalam Skim Unit Amanah bagi pemegang unit, dan mesti bertindak demi kepetingan pemegang unit yang ada kaitan hubungan fidusiari dengannya, iaitu pemegang amanah terlebih dahulu mestilah mengutamakan kepentingan pemegang unit. Pemegang unit dalam Skim Unit Amanah mempunyai kepentingan bermanfaat dalam setiap dan seluruh aset dalam Skim Unit Amanah tersebut tetapi mereka tidak berhak mengarah Syarikat Pengurusan Unit Amanah bagaimana untuk melabur dalam portfolio pelaburan.

Sebagai bukti kepentingan mereka dalam Skim Unit Amanah, setiap pelabut menerima pengesahan kelayakan, sama ada dalam bentuk penyata atau sijil unit. Bilangan unit dalam Skim Unit Amanah yang dipegang oleh setiap pelabur bergantung pada harga jualan unit pada masa pelaburan dibuat dan jumlah wang permohonan yang dicarumkan oleh pelabur. Pelabur Skim Unit Amanah akan membeli unit selepas mereka membaca dan memahami prospectus yang menerangkan segala yang perlu diketahui oleh pelabur sebelum mereka melabur dalam Skim Unit Amanah tersebut dengan melengkapkan borang permohonan.

Pulangan pelaburan untuk pemegang unit dalam Skim Unit Amanah biasanya ialah gabungan pembayaran pendapatan tetap (‘agihan’) dan tambahan nilai modal, yang diperoleh daripada pelaburan terkumpul yang terdapat dalam Skim Unit Amanah tersebut. Setiap unit layak menerima jumlah pendapatan yang sama (yang ditentukan oleh tahap agihan yang diisytiharkan oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah) dan tambahan atau susut nilai modal yang lazimnya ditunjukkan dalam harga unit Skim Unit Amanah tersebut.

Di beberapa buah Negara, bilangan dan jenis pilihan pelaburan yang disediakan melalui Skim Unit Amanah tidak terkira banyaknya. Seorang pelabur mungkin mendapati agak sukar untuk memilih jenis Skim Unit Amanah yang ingin dilaburnya. Di Malaysia, bilangan dan jenis Skim Unit Amanah semakin cepat bertambah. Contohnya, termasuklah tabung pendapatan dan tabung pertumbuhan modal; ekuiti (saham), harta tanah dan tabung pendapatan tetap (bon); dan tabung yang diuruskan menurut prinsip syariah.

Pelabur Skim Unit Amanah biasanya terdiri daripada mereka yang membuat pelaburan dalam jumlah yang agak kecil, iaitu mereka yang tidak mempunyai masa ataupun tidak berhasrat untuk memegang portfolio pelaburan langsung dalam saham atau aset lain. Sebaliknya, mereka lebih suka melabur dalam instrumen pelaburan terkawal. Skim Unit Amanah membolehkan pelabur kecil mengakses dengan mudah pelbagai jenis pelaburan yang pada kebiasaanya tidak mudah untuk diakses.

Di Malaysia dan diseluruh dunia, pelaburan kolektif (seperti Skim Unit Amanah, tabung bersama dan syarikat pelaburan terbuka) mengalami pertumbuhan yang luar biasa dalam beberapa tahun yang lepas. Pertumbuhan ini menunjukkan kesesuaian pelaburan kolektif di Malaysia, iaitu Skim Unit Amanah sebagai satu cara untuk pelabur kecil mengumpulkan modal dalam jangka masa panjang.

Oleh sebab pelabur menginginkan pulangan yang berpatutan untuk simpanan mereka, maka Skim Unit Amanah menyediakan cara yang sesuai bagi mendedahkan mereka kepada pelaburan yang dapat menghasilkan pulangan yang lebih lumayan dalam jangka masa panjang berbanding yang diperoleh daripada akaun simpanan biasa dan deposit tetap.

‘Kos’ bagi pulangan berpotensi lebih tinggi pasti disertai dengan risiko pelaburan yang tinggi juga. Dalam jangka masa pendek, kepastian pulangan pelaburan bagi kebanyakkan Skim Unit Amanah jauh lebih sedikit daripada apa yang ditawarkan oleh deposit tetap. Walau bagaimanapun, bagi jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang (iaitu lebih daripada lima tahun), pelaburan dalam Skim Unit Amanah kebanyakannya dapat memberikan pulangan yang jauh lebih baik dengan tahap risiko yang berpatutan.

Manfaat Skim Unit Amanah

Bagi pelabur yang tidak mempunyai kemahiran mahupun masa untuk membuat penyelidikan dan analisis pasaran pelaburan, Skim Unit Amanah adalah satu cara ideal untuk melabur.

Untuk mengendalikan portfolio pelaburan yang dipegang secara langsung, seseorang individu perlu mengetahui maklumat dan sentiment terkini. Dalam pasaran kewangan hari ini yang bergerak pantas dan semakin canggih, ini bermakna dia perlu sentiasa mengikuti perkembangan pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber. Bagi kebanyakan pelabur individu, ini agak sukar dilakukan, malah memerlukan masa dan kos yang tinggi.

Melabur dalam Skim Unit Amanah dapat mengalihkan sebahagian besar beban tekanan pelaburan kepada mereka yang mahir mengendalikannya, iaitu pengurus tabung profesional.

Terdapat beberapa manfaat penting lain dalam pelaburan Skim Unit Amanah yang perlu diambil perhatian:

Kepelbagaian

Pengumpulan tabung yang lebih besar membolehkan pengurus tabung menguruskan Skim Unit Amanah untuk membeli pelbagai jenis pelaburan. Tanpa mengehadkan portfolio pelaburan kepada satu atau dua pelaburan, satu portfolio yang merangkumi pelbagai pelaburan boleh dipegang. Dengan itu, pelabur Skim Unit Amanah boleh mendapat manfaat daripada ‘kesan portfolio’, iaitu pada umumnya, semakin banyak bilangan pelaburan, maka semakin kurang kadar turun naik pulangan pelaburan tersebut. Dengan kata lain, bagi pelabur yang tidak mampu membuat pelbagai jenis pelaburan kerana simpanan yang terhad, pelaburan dalam Skim Unit Amanah menawarkan kepelbagaian dengan risiko pelaburan yang minimum.

Cara Mudah Untuk Membeli Dan Menjual

Kebanyakan pelabur menghendaki pelaburan yang mudah tunai, iaitu pelaburan tersebut mudah dijual dalam jangka masa yang pendek. Skim Unit Amanah memberikan manfaat ini kerana unit boleh dibeli dan dijual dengan mudah melalui Syarikat Pengurusan Unit Amanah, Penasihat Institusi Unit Amanah, Penasihat Korporat Unit Amanah dan Perunding Unit Amanah. Pelaburan yang dijangka memberikan pulangan lumayan tetapi tidak boleh dijual, tidak semestinya pelaburan yang baik kerana paras mudah tunai yang sangat rendah merupakan faktor risiko tambahan bagi pelabur.

Mengikut Garis Panduan Tabung Unit Amanah, Syarikat Pengurusan Unit Amanah perlu membayar hasil daripada belian balik unit kepada pemegang unit secepat yang mungkin, selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari selepas menerima permintaan bagi belian balik tersebut.

Pengurusan Profesional

Pengurus tabung yang mebuat keputusan pelaburan bagi pihak pelabur Skim Unit Amanah terdiri daripada golongan professional. Latihan dan latar belakang mereka dapat memastikan proses pelaburan yang diterima pakai oleh Skim Unit Amanah adalah berstruktur dan mematuhi prinsip pelaburan asas. Skim Unit Amanah menggunakan pengetahuan dan pengalaman daripada kakitangan yang mahir untuk membuat pelaburan. Dalam jangka masa panjang, kepakaran beginilah yang dapat menghasilkan pulangan pelaburan yang lebih baik daripada biasa untuk pelabur Skim Unit Amanah.

Terdapat kakitangan yang mempunyai pengalaman dan kemahiran yang lain dalam Syarikat Pengurusan Unit Amanah yang dapat memberikan manfaat kepada pelabur Skim Unit Amanah, sebagai contoh, kakitangan khidmat pelanggan, pakar perakaunan dan cukai dan sebagainya.

Pendedahan Pelaburan

Bagi pelabur kecil, ada kalanya mereka sukar untuk mendapatkan pendedahan kepada kelas aset tertentu atau sekuriti tertentu. Sebagai contoh, jika pelabur mempunyai RM 1,000 dan ingin melabur dalam harta tanah, pasaran sekuriti antarabangsa atau bon korporat, maka agak mustahil baginya untuk memegang pelaburan langsung dalam mana-mana atau semua pasaran ini. Manakala dengan Skim Unit Amanah, pelabur berkemungkinan besar dapat melaburkan simpanannya dalam salah satu pelaburan ini atau dalam gabungan semua pelaburan ini. Oleh itu, pelabur dapat menyesuaikan pendedahan pelaburannya untuk memenuhi objektif mereka.

Kos Pelaburan

Apabila membuat pelaburan langsung, pelabur kecil perlu menanggung kos urus niaga, contohnya, komisen broker saham yang lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh pelabur institusi yang besar seperti pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Amanah. Disebabkan pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Amanah melabur dalam jumlah yang besar bagi pihak Skim Unit Amanah, maka wujudlah ekonomi ikut bidangan. Selain itu, disebabkan pengurus tabung melabur dalam jumlah yang besar, maka mereka boleh mendapat kadar pulangan institusi dan pelaburan, yang mungkin pelabur kecil tidak boleh mendapatnya ataupun mendapatnya secara terhad. Contohnya, pelabur kecil tidak boleh melabur secara langsung dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia yang melibatkan jumlah setiap urus niaga pada amnya sehingga berjuta-juta ringgit. Sebaliknya tidak menjadi masalah untuk pengurus tabung melabur di pasaran ini kerana jumlah yang boleh mereka laburkan pada satu-satu masa. Pelabur institusi, termasuk pengurus tabung Skim Unit Amanah, sering menerima peruntukan keutamaan bagi tawaran awam awal untuk saham syarikat yang akan disenaraikan, yang tidak diberikan atau dihadkan kepada pelabur kecil.

Kekurangan Skim Unit Amanah

Risiko

Setiap pelaburan ada risikonya. Pelaburan dalam Skim Unit Amanah juga ada risikonya. Oleh itu, amat penting untuk pelabur mengetahui tentang risiko ini sebelum mereka membuat keputusan melabur dalam Skim Unit Amanah.

Perunding Unit Amanah mestilah memastikan pelabur Skim Unit Amanah diberikan penjelasan tentang risiko tersebut sebelum mereka melabur dengan menerangkan kepada pelabur tersebut tentang seksyen yang berkaitan dalam prospectus Skim Unit Amanah. Jadual prestasi Skim Unit Amanah dan bahan promosi lain yang diluluskan oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah berguna untuk menjelaskan kepada pelabur tentang perbezaan risiko pelaburan antara Skim Unit Amanah.

Kehilangan Kawalan

Pelabur dalam Skim Unit Amanah tiada hak untuk menentukan bagaimana simpanan mereka dilaburkan. Jika pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Amanah melaburkan portfolio pelaburan Skim Unit Amanah mengikut prospectus dan surat ikatan, maka tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pemegang unit jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus tabung.

Pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Amanah mestilah melabur mengikut prospectus dan surat ikatan walaupun jika keadaan pasaran atau ‘gaya’ pelaburan berubah.

Yuran Dan Bayaran

Perkhidmatan yang disediakan oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah bukanlah percuma. Memang ada yuran dan bayaran yang perlu dibayar oleh pelabur Skim Unit Amanah. Ini akan memberikan kesan ke atas pulangan pemegang unit walaupun yuran tersebut dikira berdasarkan kepakaran profesional yang diberikan kepada pelabur melalui Skim Unit Amanah.

Kos Melepas

Sebagaimana dengan mana-mana keputusan yang dibuat, pelabur yang melabur dalam Skim Unit Amanah mungkin memperoleh pulangan yang lebih baik daripada mereka terus melabur dalam pasaran. Lebihan ini merupakan ‘kos melepas’ daripada pelaburan Skim Unit Amanah.

Pelabur mungkin mempertikaikan bahawa mereka boleh mendapat pulangan yang lebih baik jika mereka melabur sendiri, terutama sekali apabila prestasi Skim Unit Amanah mengecewakan. Hal ini mungkin ada benarnya, namun satu aspek pelaburan yang sering dilupakan oleh pelabur langsung ialah tahap risiko yang diambil untuk mencapai pulangan tersebut. Pelaburan melalui Skim Unit Amanah memberikan tahap kepelbagaian yang tinggi untuk pelabur dengan simpanan yang terhad. Satu pelaburan langsung mungkin menghasilkan pulangan yang lebih berbanding pelaburan melalui Skim Unit Amanah, tetapi yang jelasnya, tahap risiko yang diambil oleh pelabur langsung jauh lebih besar daripada mereka yang melabur dalam Skim Unit Amanah.

Struktur Skim Unit Amanah

Skim Unit Amanah ialah skim pelaburan kolektif tidak diperbadankan yang dibentuk untuk tujuan mengumpul tabungan pelabur supaya tabungan tersebut dilabur dan diurus untuk manfaat bersama. Struktur Skim Unit Amanah ditunjukkan dalam rajah dibawah. Walaupun terdapat banyak perbezaan antara Skim Unit Amanah, tetapi strukturnya tetap sama.

APAKAH ITU UNIT AMANAH

Operasi setiap Skim Unit Amanah dikawal selia oleh surat ikatan, yang melantikkan Syarikat Pengurusan Unit Amanah dan pemegang amanah serta menerangkan bagaimana Skim Unit Amanah dikendalikan secara terperinci. Syarikat Pengurusan Unit Amanah bertanggungjawab ke atas operasi Skim Unit Amanah dan biasanya bertindak sebagai penganjur. Menurut surat ikatan, pemegang amanah dilantik untuk mengawasi operasi Skim Unit Amanah. Tugas Syarikat Pengurusan Unit Amanah dan pemegang amanah ditetapkan dalam surat ikatan dan mengikut undang-undang.

Pemegang unit adalah terikat menurut surat ikatan dan obligasi mereka dinyatakan dalam dokumen tersebut. Mereka mempunyai hak dan dengan itu mempunyai akses kepada pelbagai remedi perundangan yang diterangkan dalam surat ikatan, sekiranya syarat surat ikatan tidak dipatuhi.

Aset setiap Skim Unit Amanah dipegang atas nama pemegang amanahnya. Ini merupakan perlindungan yang sah kerana ia mengasingkan aset Syarikat Pengurusan Unit Amanah daripada aset Skim Unit Amanah. Pengasingan ini melindungi kepentingan pelabur sekiranya Syarikat Pengurusan Unit Amanah dibubarkan. Aset Skim Unit Amanah dipegang ‘atas amanah’ bagi pihak pemegang unit Skim Unit Amanah tersebut. Ini bermakna aset Skim Unit Amanah dipegang oleh pemegang amanah bagi pihak pemegang unit dan sekiranya pemegang amanah dibubarkan, aset ini tidak boleh secara sah digunakan untuk dibayar kepada pemiutang pemegang amanah. Walaupun aset Skim Unit Amanah didaftarkan atas nama pemegang amanahnya, tetapi pemilikan bermanfaat bagi aset ini adalah dalam tangan pemegang unit (Benefisiari di bawah amanah).

P/S: Adakah simpanan anda mencukupi? Dimanakah tempat anda buat simpanan? Jom gandakan simpanan di tempat yang kalis Inflasi! Berminat?

Untuk keterangan lanjut & temujanji, sila hubungi:

Aizuddin Azmi

Perunding Unit Amanah

Single License Investment

Emel: deenazmee@gmail.com

H/P: 019-548 1304

Alamat: No. 29A (Ground Floor), Lebuh Pantai 10300 Pulau Pinang

Sekian, Wassalam

Advertisements

About aizuddinazmi

Aizuddin Azmi Perunding Unit Amanah Single License Investment Emel: deenazmee@gmail.com H/P: 019-548 1304 Alamat: No. 29A (Ground Floor), Lebuh Pantai 10300 Pulau Pinang
This entry was posted in Informasi, Kewangan, Unit Amanah. Bookmark the permalink.

8 Responses to APAKAH ITU UNIT AMANAH?

  1. Pingback: MENGAPA PERLU GANDAKAN WANG DI TEMPAT YANG KALIS INFLASI? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  2. Pingback: ADAKAH SIMPANAN AKAUN 1 KWSP MENCUKUPI? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  3. Pingback: PERBANDINGAN ANTARA KAEDAH PELABURAN SEKALIGUS DAN KAEDAH SIMPANAN ANSURAN BULANAN? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  4. Pingback: APAKAH ITU TAKAFUL? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  5. Pingback: SENARAI SYARIKAT PENGENDALI TAKAFUL YANG DILULUSKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  6. Pingback: APAKAH HUKUM PELABURAN ASN, ASB DAN SEUMPAMANYA? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  7. Pingback: MUZAKARAH JAKIM BERKENAAN HUKUM FOREX TRADING? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

  8. Pingback: APAKAH HUKUM PERDAGANGAN PERTUKARAN MATAWANG ASING OLEH INDIVIDU SECARA LANI (INDIVIDUAL SPOT FOREX) MELALUI PLATFORM ELEKTRONIK? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ANDA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s